Saturday, 18 June 2016

Kembara bersama team surau Al-Barakah

Alhamdulillah.......pejam celik pejam celik sudah pun 13 hari kita berpuasa. Begitu cepat masa berlalu. Hari ini agak special since dapat bersama sama team surau Al Barakah menyampaikan zakat dan derma ikhlas dari penduduk Melaka Perdana Resort Homes untuk meringankan beban beberapa asnaf yang dikenalpasti. 20 famili semuanya.

Bertolak jam 9 pagi ke destini pertama untuk asnaf di sekitar Kampung Lapan dan hampir jam 11.30am bertolak ke Kampung Kandang untuk destinasi kedua. Misi selesai apabila matahari menginjak ke waktu Zuhur. Alhamdulillah.

Kebanyakan mereka ini terdiri dari ibu tunggal yang terpaksa berkorban jiwa raga untuk membesarkan anak anak mereka dengan keadaan yang serba kekurangan. Sangat bersyukur kerana mereka ini masih dapat berteduh di rumah yang paling tidak dapat melindungi mereka dari hujan dan panas. Yang lain, ada yang tidak berupaya bangun. Ada yang bergerak tidak seperti kita kerana keadaan fizikal yang terhad atau kondisi badan lemah akibat penyakit.

Paling memberi impak dan meginsafkan ialah apabila mengunjungi 2 dari 20 famili asnaf asnaf ini yang diuji dengan kehadiran beberapa anak istimewa. Bukan calang calang boleh melalui kehidupan seperti mereka ini. Disebalik senyuman mereka ini bersembunyi kedukaan yang mungkin mereka saja yang faham. Syukurlah berkat kesabaran, kebersihan dan kekuatan kolam jiwa mereka, mereka dapat mengatasi kepayahan, keperihan dan kekurangan yang mereka ada.

Pengembaraan ini sangat menginsafkan. Bersyukurlah dengan apa yang kita ada. Kita selalu merasakan apa yang ada tidak cukup. Tetapi ingatlah banyak orang yang serba kekurangan masih di luar sana. Kekurangan mereka mungkin berlipat kali ganda dari apa yang kita fikirkan. Tetapi mereka kuat, tabah dan sabar.

Harapan kami, terimalah derma ikhlas yang tak seberapa ini. InsyaAllah berkat bulan Ramadhan ini sama sama kita doakan yang terbaik untuk mereka ini.

Akhir sekali, terima kasih kepada penduduk Melaka Perdana Resort Homes yang begitu pemurah, akrab dan bersepakat dalam semua aktiviti yang dianjurkan. Semangat kejiranan sebegini sangat tidak ternilai harganya dan mungkin susah untuk dicari di zaman sekarang. Semoga kita semua masih berupaya meneruskan sesuatu seperti ini di masa akan datang.Terima kasih juga kepada pengembara hari ini Tuan Hj Hazal, Dato' Ramadhan, Tuan Hj Idzir,Tuan Hj Rahmat dan Tuan Hj Rashid, yang telah bersama sama dari awal hingga lah berakhirnya program ini.



 






 


 


 


 





 


 









 

No comments:

Post a Comment